Kuala Lumpur – redONE Mobile, melalui Yayasan redONE, telah bekerjasama dengan Kechara Soup Kitchen (KSK) untuk mengedarkan bantuan makanan kepada gelandangan di jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur. Pada hari dan suasana yang penuh makna itu, sepasukan 20 sukarelawan telah mengagihkan makanan berkhasiat di kawasan utama seperti Pudu, Petaling Street dan Central Market, bertujuan memastikan mereka yang memerlukan, menerima hidangan yang hangat dan berkhasiat.
Aktiviti tersebut bermula di pusat KSK di Jalan Imbi, di mana para sukarelawan membantu menyediakan set hidangan sebelum bergerak secara kumpulan untuk menyusuri laluan-laluan yang telah ditetapkan. Mereka meredah jalan-jalan sibuk di Kuala Lumpur, menuju ke kawasan yang sering dikunjungi golongan gelandangan, bagi memastikan mereka mendapat bekalan makanan untuk malam tersebut.
Usaha khidmat masyarakat ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan redONE Mobile terhadap tanggungjawab sosial, bertujuan memperkukuh komitmen syarikat untuk menyokong inisiatif tempatan yang memberi impak yang nyata, sambil mengingatkan kita akan kepentingan memberi kembali, pada ketika para sukarelawan masing-masing meluangkan masa di hujung minggu mereka untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.
“Sebagai sebuah syarikat, aktiviti-aktiviti seperti ini adalah lebih dari sekadar menjalankan perniagaan. Ia adalah tentang saling memberi sokongan dan bersatu bersama komuniti. Kami percaya kejayaan sebenar terletak pada memberi impak positif kepada mereka yang memerlukan, kerana masa depan yang lebih baik untuk semua, hanya dapat dibina dengan kerjasama yang erat. Pengagihan makanan ini bersama Kechara Soup Kitchen membolehkan kami memberi kembali secara langsung kepada komuniti dan ini adalah salah satu cara kami untuk membuat perubahan dalam kehidupan orang lain,” kata Ameen Amaendran, Ketua Pegawai Eksekutif redONE Mobile.
“Kerjasama dengan redONE Mobile ini selaras dengan misi Kechara Soup Kitchen untuk memenuhi keperluan segera golongan gelandangan dan komuniti yang kurang mendapat perhatian sambil berusaha ke arah penyelesaian jangka panjang. Bersama-sama, kami membuat perbezaan yang nyata dengan memastikan akses kepada keperluan asas, seperti makanan panas, dan memberi harapan untuk masa depan yang lebih baik,” kata Elisa Khong, Pengarah Urusan Kechara Soup Kitchen Society.
Kechara Soup Kitchen Society (KSK Society) telah memberi khidmat kepada komuniti terpinggir di Malaysia selama lebih 17 tahun; ini termasuk golongan gelandangan, miskin bandar, dan penduduk Orang Asli. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mereka telah mengembangkan fokus mereka ke arah menangani kemiskinan dengan membantu golongan miskin bandar melalui Program Bank Makanan dan Program Pemberdayaan. Bersama dengan redONE Mobile, KSK dapat memberikan bantuan kepada segmen paling terdedah dalam masyarakat kami, sebelum mereka jatuh ke dalam kemiskinan dan kesusahan yang lebih teruk.
redONE Mobile secara aktif terlibat dalam pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat pada tahun lalu, termasuk menyokong golongan gelandangan di Pusat Gelandangan Transit Kuala Lumpur dan anak-anak yatim semasa Ramadan. Syarikat, juga bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Suara Kanak-kanak Malaysia (SUKA) dalam program ‘Empowered 2 Teach’ untuk kanak-kanak orang asli di Gopeng, Perak, serta ‘Program Ibadah Qurban’ untuk memberikan sumbangan daging kepada komuniti di Pantai Timur Malaysia semasa Hari Raya Aidiladha.
Melalui kerjasama ini dengan KSK, redONE Mobile terus memberikan bantuan yang amat diperlukan di tempat yang paling memerlukan, memastikan mereka yang menghadapi kesusahan tidak dilupakan.
Untuk maklumat lanjut berkenaan inisiatif-inisiatif komuniti redONE Mobile dan program akan datang, layari redonemobile.com.my atau ikuti redONE Mobile di Facebook @redONE Mobile dan Instagram @redonemobile.my.